KWSP: Tiada Perubahan Pada Pengeluaran Umur 55 Tahun

 

 

 

KUALA LUMPUR, 3 November 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2017, Akaun Emas akan diwujudkan sebagai simpanan persaraan kedua untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas.  Tiada perubahan pada Pengeluaran Umur 55 Tahun semasa.   Akaun Emas ini merupakan salah satu inisiatif di bawah penambahbaikan skim KWSP yang terkandung di dalam Akta KWSP 1991 di mana semua caruman baru yang diterima selepas umur 55 tahun akan secara automatik  dimasukkan ke dalam Akaun Emas dan akan hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun. Ini bagi memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli apabila mencapai umur 60 tahun.   Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Semasa Rundingan Ahli yang telah dijalankan pada April tahun lepas, kami telah mencadangkan beberapa inisiatif penambahbaikan ke atas skim semasa, dan yang paling utama adalah mewujudkan Akaun Emas.   “Memandangkan purata rakyat Malaysia kini bekerja selepas umur 55 tahun dan umur persaraan minimum 60 tahun, KWSP telah memutuskan untuk menyediakan dana persaraan kedua, iaitu Akaun Emas, untuk memelihara simpanan ahli dari umur 55 ke 60 tahun.  Penambahan simpanan dalam jangkamasa lima tahun ini akan memberi manfaat kepada ahli apabila mereka bersara kelak.”     KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa Pengeluaran Umur 55 Tahun adalah kekal dan ahli berumur 55 tahun ke atas masih boleh membuat pengeluaran ke atas baki simpanan.  Akaun Emas tidak akan menjejaskan skim semasa di mana ahli diberi pilihan untuk membuat pengeluaran penuh atau sebahagian apabila mencapai umur 55 tahun. Simpanan ahli juga boleh terus menerima dividen untuk Akaun Emas dan baki simpanan dalam Akaun 55.     Selain inisiatif Akaun Emas dan Akaun 55, KWSP juga melanjutkan had pengkreditan dividen dari umur 75 tahun sehingga 100 tahun.  Ini akan memberi manfaat kepada ahli yang ingin mengekalkan sebahagian simpanan mereka dengan KWSP serta mendapat faedah dari kesan berganda (compounding effect) melalui penerimaan dividen sehingga pengeluaran penuh dibuat.    Lanjutan keputusan Rundingan Ahli tahun lepas, sebanyak 94 peratus responden bersetuju agar KWSP mengekalkan Pengeluaran Umur 55 Tahun, dan caruman baru dari umur 55 hingga 60 disimpan sehingga umur 60 tahun dalam Akaun Emas.  Rundingan tersebut juga menyaksikan 61 peratus responden bersetuju agar bayaran dividen dilanjutkan dari umur 75 ke 100 tahun.   Beberapa inisiatif lain juga diperkenalkan ke atas skim dan polisi KWSP seperti perubahan terhadap polisi penamaan, peningkatan kuantum Simpanan Asas, pengeluaran pra-persaraan untuk ahli bukan warganegara dan penambahbaikan ke atas polisi pengurusan (sila lihat Lampiran 1).  Kesemua inisiatif ini akan bermula pada 1 Januari 2017.   Untuk maklumat lanjut berkenaan inisiatif penambahbaikan ini, ahli boleh rujuk kepada laman mikro Penambahbaikan Skim dan Polisi KWSP melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.   Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.   KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

LAMPIRAN 1

 

RINGKASAN PENAMBAHBAIKAN SKIM DAN POLISI KWSP

 

INISIATIF PENAMBAHBAIKAN PENERANGAN

1.

Akaun 55

(Pengeluaran Umur 55 Tahun)

  • Caruman dari Akaun 1 dan 2 akan dipindahkan ke Akaun 55 untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas bermula 1 Januari 2017.
  • Sebarang pengeluaran boleh dibuat setelah pemindahan ke Akaun 55 telah dibuat, tertakluk kepada kelayakan dan prosedur semasa.

 

 

 

 

2.

Akaun Emas

(Pengeluaran Umur 60 Tahun)

  • Caruman diterima selepas umur 55 tahun bermula 1 Januari 2017 akan dimasukkan ke dalam akaun baru Akaun Emas.
  • Tiada pengeluaran pra-persaraan untuk Akaun Emas.
  • Caruman terkumpul hanya boleh dikeluarkan pada umur 60 tahun.
  • Setelah mencapai umur 60 tahun, baki dalam Akaun 55 dan Akaun Emas akan digabungkan untuk pengeluaran.

 

 

 

 

3.

Pengkreditan Dividen dan Simpanan Tidak Dituntut
  • Dividen akan terus dikreditkan ke dalam akaun ahli sehingga simpanan tersebut dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut selepas 100 tahun.

 

 

  • Ahli masih boleh terus menikmati dividen sehingga umur 100 tahun.

 

 

4.

Penamaan
  • Bayaran pendahuluan Pengeluaran Kematian dinaikkan dari RM20,000 ke RM25,000 bergantung pada baki simpanan ahli.
  • Saksi tidak lagi diperlukan semasa membuat penamaan.
  • Untuk ahli beragama Islam:

o    Peranan wasi/pentadbir diperjelaskan dalam borang penamaan

 

o    Penamaan akan terbatal sekiranya permohonan pengeluaran tidak dibuat dalam masa satu (1) tahun dari tarikh kematian ahli

 

o    Penama bawah umur boleh mengambil tanggungjawab sebagai wasi/pentadbir setelah mencapai umur 18 tahun.

 

 

 

5.

Kuantum Simpanan Asas Baru
  • Kuantum Simpanan Asas dinaikkan dari RM196,800 ke RM228,000 selaras dengan pencen minimum untuk pekerja sektor awam (RM820 ke RM950 sebulan).

 

  • Kelayakan untuk menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP) dinaikkan dari 20 ke 30 peratus daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 mengikut umur.

 

 

 

6.

Pengeluaran Tambahan untuk Ahli Bukan Warganegara
  • Inisiatif penambahbaikan ini membenarkan ahli bukan warganegara untuk membuat pengeluaran tambahan seperti di bawah, tertakluk pada syarat-syarat kelayakan:

o    PENGELUARAN PRA-PERSARAAN

▪      Pengeluaran Umur 50 Tahun

▪      Pengeluaran Perumahan – hanya untuk hartanah dalam negara

▪      Pengeluaran Pendidikan

▪      Pengeluaran Kesihatan

o    PENGELUARAN PENUH

▪      Umur 55 Tahun – Pengeluaran Penuh

▪      Meninggalkan Negara

▪      Kurang Upaya

▪      Kematian

 

 

 

 

 

7.

Lucuthak Perlindungan Simpanan

 

  • Simpanan tidak lagi dilindungi di bawah Seksyen 51 apabila terdapat perintah pelucuthakan oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], di mana simpanan ahli boleh diserahhak dan dipindahkan kepada pihak Kerajaan.

 

 

 

 

 

 


文章來源